fb fb fb fb fb

RISDA bantu 140 pekebun kecil yang terjejas banjir di Baling

BALING, 13 Julai- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan membantu 140 pekebun kecil di daerah ini untuk menjalankan penanaman dan pembangunan semula kebun getah yang terjejas akibat banjir dan kepala air.

Pengerusi RISDA Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata bantuan penanaman dan pembangunan semula kebun seluas 98 hektar itu disediakan melalui Rancangan Pemulihan Kebun (RPK) termasuk membaik pulih jalan pertanian bagi kebun tersebut.

Katanya pekebun kecil layak menerima bantuan pemulihan pada kadar maksimum RM7,710 sehektar dan bantuan pemulihan kebun bagi kemusnahan tanaman.

RISDA juga akan memberikan bantuan wang tunai secara sekali beri sebanyak RM1,000 setiap sebuah rumah kepada penghuni 17 rumah yang musnah dan rosak teruk akibat bencana itu.

Selain itu, enam usahawan bimbingan RISDA yang terkesan dalam bencana itu turut dibantu.


(Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif)

"Usahawan kita yang terjejas, ada yang berhampiran sungai, bangunan itu hilang. Dua hari sebelum kejadian, pihak RISDA ada memberi bantuan mesin buat kek, ia turut terjejas. Daripada enam usahawan kita ini, ada usahawan madu kelulut juga habis dipukul air deras", katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan kerja di Kampung Iboi, Kupang dan pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Jerai yang terjejas dalam kejadian tersebut.

Menerusi lawatan itu, RISDA memberikan sumbangan RM100,000 melibatkan 1,000 unit bantuan bekalan makanan kepada penduduk terjejas bencana itu.

Daerah Baling mempunyai pekebun kecil seramai 13,121 orang dengan keluasan penanaman getah seluas 13,988.51 hektar.

Media Baharu