PETALING JAYA, 22 Oktober - Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan sembilan negeri sehingga 12.00 tengah hari ini.
MET Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan kawasan terlibat ialah seluruh Perlis, Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, seluruh Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak).
Selain itu, cuaca tersebut dijangka melanda negeri Selangor melibatkan kawasan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang), Negeri Sembilan (Port Dickson), Melaka serta di Johor (Tangkak, Muar, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Sementara itu, di Sarawak ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda kawasan Sibu (Kanowit dan Selangau), Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong) dan Bintulu (Tatau).
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran", menurut kenyataan itu.