Ribut: Pelajar PPKI jalani PdPR, baik pulih kerosakan dijangka selesai seminggu

Foto Jabatan Pendidikan Negeri Kedah

BANDAR BAHARU, 11 Jun – Pelajar program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Lubuk Buntar di sini menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) susulan kejadian ribut yang menjejaskan dua blok bangunan sekolah berkenaan, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PdPR bagi pelajar PPKI dilaksanakan selama seminggu; tempoh mungkin dilanjut jika kerja baik pulih belum selesai.
  • Pelajar biasa meneruskan pengajaran dan pembelajaran seperti biasa dan ditempatkan di bilik khas.
  • Ribut menyebabkan kerosakan pada bumbung laluan pejalan kaki, parkir kereta, rumah pam dan struktur hidroponik PPKI.
  • JPN menilai anggaran kerosakan untuk kelulusan peruntukan kecemasan; sektor murid menilai bantuan logistik dan sokongan psikososial.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah Abdul Rahim Mat berkata, pelaksanaan PdPR bagi pelajar PPKI di sekolah berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu.

“Bagaimanapun sekiranya kerja-kerja baik pulih kerosakan di bangunan sekolah belum dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu, kemungkinan tempoh PdPR akan dilanjutkan.

“Manakala, pelajar biasa akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran seperti biasa dan ditempatkan di bilik-bilik khas,” kataya ketika dihubungi RTM.

SK Lubuk Buntar merekodkan jumlah keseluruhan murid seramai 367 orang.

Selain menjejaskan kelas PPKI, kejadian ribut pada kira-kira pukul 4.05 petang semalam turut menyebabkan kerosakan pada bumbung laluan pejalan kaki, parkir kereta, rumah pam dan struktur tapak hidroponik PPKI.

Tambah Abdul Rahim, pihaknya sedang meneliti anggaran nilai kerosakan untuk tujuan kelulusan peruntukan penyelenggaraan kecemasan.

“Dari aspek kebajikan murid pula, sektor pembangunan murid sedang menilai keperluan bantuan logistik atau sokongan psikososial murid.

“Jawatankuasa pengurusan bencana JPN Kedah turut memantau status pemulihan sekolah sehingga premis disahkan selamat,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.