KUALA LUMPUR, 17 Disember- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang melaksanakan Analisis Impak Peraturan (RIA) bagi cadangan penubuhan Lembaga Perindustrian Nenas, Kelapa dan Durian Malaysia (LPNKDM).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penstrukturan berkenaan melibatkan penambahan tanaman kelapa dan durian bawah bidang kuasa Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) selain tidak memerlukan penubuhan entiti baru bagi mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.
"Cadangan penubuhan LPNKDM tersebut selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2021–Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan.
"Hasil kajian dijangka akan dikemukakan kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada bulan Mac 2025," katanya.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkenaan status terkini komoditi kelapa.
Sebelum ini terdapat cadangan komoditi kelapa diletakkan bawah dua lembaga iaitu Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM).