KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Reformasi sistem pendidikan nasional perlu memberi tumpuan kepada keperluan masyarakat luar bandar.
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ini termasuk aspek prasarana dan pembangunan kemahiran.
Katanya, usaha itu penting bagi merapatkan jurang antara pelajar bandar dan luar bandar.
“Saya ingin syorkan agar reformasi pendidikan dapat didahulukan di kawasan kurang membangun iaitu di luar bandar.
Bukan sahaja dari segi infrastruktur, tetapi juga tumpuan kepada pendidikan,” katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan berterusan untuk memastikan anak-anak luar bandar memiliki kemahiran khusus.
Jelasnya, kemahiran itu penting bagi memenuhi peluang pekerjaan yang setanding dengan ekonomi berprestasi tinggi.