fb fb fb fb fb

Rayuan Rosmah gagal, hakim kes solar kekal

Foto RTM

PUTRAJAYA, 17 September - Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam rayuan bagi menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes rasuah projek solar yang dihadapinya.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Datuk Ahmad Zaidi dalam alasan penghakiman berkata rayuan yang difailkan Datin Seri Rosmah sebagai tidak bermerit.

“Selepas mengambil kira fakta dan hujahan secara keseluruhan, kami mendapati rayuan diusulkan perayu (Datin Seri Rosmah) adalah tidak bermerit.

“Dengan itu, kami bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya bahawa dalam fakta kes dan hujahan perayu gagal menunjukkan bahaya sebenar dan berat sebelah di pihak hakim bicara (hakim mahkamah tinggi),” ujar beliau ketika membacakan alasan penghakiman di Mahkamah Rayuan pagi ini.

Tambah beliau, sepanjang tempoh perbicaraan selama dua tahun lebih, perayu tidak pernah membuat permohonan rayuan tersebut sekaligus membuktikan perayu memberi kepercayaan penuh terhadap hakim berkenaan.

“Adalah wajar dikatakan kes solar melibatkan perayu telah didengar oleh hakim bicara lebih dari dua setengah tahun dimana perayu tidak pernah pada bila-bila masa membuat permohonan untuk menyingkirkan hakim bicara sehinggalah tarikh beberapa hari sebelum keputusan tiba.

“Pada hemat kami bahawa ini membuktikan dalam tempoh tersebut perayu menerima hakim bicara tersebut yang adil dan saksama. Tiada keraguan tentang keadilan beliau,”

Pada 25 Jun lalu, panel tiga hakim tersebut telah menangguhkan keputusan kes selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung rayuan itu.

Isteri bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamed Zaini Mazlan pada 2022, dua hari sebelum keputusan kes solar itu dijangka diumumkan.

Pada 1 September tahun sama, Hakim Datuk Mohamed Zaini yang kini Hakim Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa Datin Seri Rosmah bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan secara serentak selain didenda RM970 juta.

Jika gagal membayar denda, dia boleh dihukum penjara selama 30 tahun.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN