
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa golongan wanita untuk tidak berdiam diri sekiranya menjadi mangsa penderaan rumah tangga.
- Tema Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026: Seteguh KASIH Ibu.
- Diadakan di Pusat Dagangan Dunia WTC Kuala Lumpur pada 10 Mei, memberi ruang penghargaan dan santunan kepada wanita.
- Dijangka dihadiri Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
- Program utama termasuk forum Pejuang Dua Garis dan Seteguh Kasih Ibu, serta pakej dan saringan kesihatan untuk pengunjung.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya akan memperkasakan lagi program perundangan dan ekonomi bagi memastikan golongan wanita mampu berdikari serta keluar daripada keganasan berkenaan.
“Bagi kami di Kementerian, kami akan pastikan kami sentiasa mengadakan program-program perundangan serta memperkasakan mereka dari segi keselamatan dan juga ilmu ekonomi untuk menjana pendapatan sendiri,” katanya ketika menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Justeru, Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 bertemakan ‘Seteguh KASIH Ibu’ yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 10 Mei ini, dirangka bagi memberi ruang kepada wanita untuk dihargai dan disantuni.
Majlis tersebut dijadualkan akan dihadiri oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Antara pengisian utama program termasuklah forum ‘Pejuang Dua Garis’ dan ‘Seteguh Kasih Ibu’, selain penyediaan pelbagai pakej serta saringan kesihatan buat para pengunjung.
Inisiatif berkenaan selaras dengan Agenda Nasional Kasih Keluarga Negara (ANKKN) yang bukan sahaja meraikan kasih sayang, malah mengangkat peranan ibu sebagai ikon inspirasi dalam membentuk keluarga bahagia dan komuniti sejahtera.