
JOHOR BAHRU, 8 Mei – Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan Masjid Bandar Tiram, Ulu Tiram, hari ini.
- Masjid berkapasiti 1,600 jemaah dijangka manfaat penduduk Bandar Tiram dengan ruang ibadah dan kemudahan lebih selesa.
- Masjid An-Nur ketujuh di Johor diuruskan oleh Waqaf An-Nur Corporation Berhad.
- Kemudahan termasuk pejabat pengurusan, bilik kuliah, bilik penyusuan dan bilik pengurusan jenazah.
- Reka bentuk masjid diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong, menambah nilai estetika dan simbolik kepada masyarakat.
Masjid yang dibina pada Disember 2022 dan diisytiharkan sebagai masjid solat Jumaat pada September tahun lalu itu merupakan rangkaian Masjid An-Nur ketujuh di bawah pengurusan Waqaf An-nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) di Johor.
Menurut Pengerusi Masjid Bandar Tiram, Mohd Bahrin Bakri, masjid berkapasiti 1,600 jemaah itu dijangka dapat memberikan manfaat kepada penduduk sekitar Bandar Tiram menerusi penyediaan ruang ibadah dan kemudahan yang lebih selesa.
“Masjid ini bukan hanya berperanan sebagai pusat ibadah malah ia menjadi pusat kegiatan komuniti khususnya penduduk Bandar Tiram serta kawasan sekitar,” katanya di sini.
Antara kemudahan yang disediakan adalah pejabat pengurusan, bilik kuliah, bilik penyusuan dan bilik pengurusan jenazah.
Lebih istimewa, reka bentuk masjid diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Turut berangkat Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.