
CEBU, 8 Mei – Malaysia kekal berpendirian bahawa rundingan berhubung Laut China Selatan perlu diselesaikan dalam kalangan negara ASEAN bersama China tanpa melibatkan campur tangan kuasa luar.
- Kepusatan ASEAN perlu diperkukuh ketika rantau berhadapan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.
- Percepatan Rundingan Kod Tatalaku yang mengikat undang-undang penting untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan perairan.
- Sasaran memuktamadkan perjanjian substantif menjelang akhir 2026 di bawah kepengerusian Filipina.
- Sehingga awal 2026, kira-kira 70 peratus draf COC selesai untuk meningkatkan kestabilan serantau dan menyelesaikan pertikaian maritim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu selaras dengan prinsip kepusatan ASEAN yang perlu diperkukuh, terutama ketika rantau ini berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.
Beliau menegaskan, rundingan bagi memuktamadkan Code of Conduct (COC) atau Rundingan Kod Tatalaku yang mengikat undang-undang perlu dipercepat, bagi memastikan keamanan serta kestabilan di perairan itu terus terpelihara.
“Kita masih berpendapat rundingan harus dikalangan ASEAN dan negara China tidak melibatkan kuasa luar yang lain dan keduanya kita juga mengekal pandangan supaya Code of Conduct itu diantara ASEAN dan China dipercepatkan. Setakat ini kementerian luar menekankan bahawa ada kemajuan kearah itu,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di sini.
COC antara ASEAN dan China di Laut China Selatan sebelum ini giat diteruskan, dengan sasaran memuktamadkan perjanjian substantif menjelang akhir 2026 di bawah kepengerusian Filipina.
Setakat awal 2026, kira-kira 70 peratus daripada draf itu telah diselesaikan, bertujuan meningkatkan kestabilan serantau dan menyelesaikan pertikaian maritim.