
PUTRAJAYA, 4 Mei – Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi bagi membantu siasatan berkaitan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion.
- Kes melibatkan perjanjian kerjasama strategik semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited dari United Kingdom.
- Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna jawatan untuk suapan.
- Setakat ini 22 keterangan diambil termasuk menteri dan pegawai kanan beberapa agensi kerajaan.
- Kertas siasatan dibuka pada 16 Februari susulan aduan NGO mendakwa perjanjian dibuat tergesa-gesa dan berat sebelah.
Kes berkenaan melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited dari United Kingdom (UK).
Ahli Parlimen Pandan itu tiba kira-kira 9.31 pagi dan memaklumkan akan memberi kerjasama sepenuhya kepada suruhanjaya itu.
Siasatan dijalankan bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan untuk suapan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, setakat ini 22 keterangan telah diambil termasuk daripada kalangan menteri dan pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025.
SPRM turut merakam keterangan bekas pembantu Rafizi, Chai Jin Shern atau James Chai selama tiga hari berturut-turut bermula Selasa lalu.
Kertas siasatan kes itu dibuka pada 16 Februari lalu susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga boleh memberi kesan kewangan kepada kerajaan.