“Kita kehilangan sebutir lagi permata industri seni” – Datuk Fahmi

Allahyarham Jalil Hamid

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Pemergian pelakon veteran tanah air, Jalil Hamid disifatkan sebagai kehilangan besar buat industri seni tanah air, demikian menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ucapan takziah kepada keluarga, sahabat handai dan rakan seperjuangan Allahyarham.
  • Kita kehilangan sebutir lagi permata industri seni tanah air.
  • Menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham sepanjang lebih empat dekad dalam lakonan dan nyanyian.
  • Mendoakan keluarga diberi kekuatan serta roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.

Beliau menerusi hantaran Facebook turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan rakan seperjuangan Allahyarham Jalil Hamid.

“Kita kehilangan sebutir lagi permata industri seni tanah air hari ini.

“Allahyarham merupakan seorang seniman yang tidak asing dalam dunia lakonan dan nyanyian sejak lebih empat dekad lalu, serta dikenali sebagai penghibur yang memiliki gaya dan bakat tersendiri.

“Segala jasa, bakti dan sumbangan Allahyarham sepanjang penglibatannya dalam industri seni akan sentiasa dikenang dan dihargai,” menurut hantaran itu.

Selain itu, Datuk Fahmi turut mendoakan dan berharap ahli keluarga Allahyarham diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan tersebut.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tambah hantaran itu.