KEPALA BATAS, 21 Jun - Pulau Pinang menyasarkan kutipan zakat RM200 juta untuk tahun ini, dengan mengambil kira penambahan peruntukan kepada program Iltizam Huffaz.
Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, penambahan peruntukan kepada program tersebut bertujuan memberi lebih ramai peluang kepada pelajar untuk menyertainya.
Pelajar bukan sahaja dapat melanjutkan pengajian ke Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB), malah berpeluang meneruskan pengajian ke luar negara
"Maknanya kita mahu tingkatkan peruntukan kepada program Iltizam Huffaz bagi membolehkan anak-anak di Pulau Pinang mengikuti program itu yang sudah terbukti berjaya.
"Seterusnya pelajar boleh melanjutkan pengajian ke universiti terpilih misalnya di Universiti Al-Azhar, universiti d Jordan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Iltizam Huffaz sesi 2024-2025 di Kepala Batas.
Pada majlis tersebut, seramai 38 pelajar diraikan setelah menamatkan pengajian selama lapan bulan bawah program berkenaan.