
GEORGE TOWN, 13 Mei – Pulau Pinang disaran mempelbagaikan destinasi eksport dengan meneroka pasaran baharu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tradisional, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
- Menjamin Pulau Pinang kekal sebagai hab pembuatan teknologi tinggi negara yang mampan dan berdaya saing.
- Kerajaan negeri memberi tumpuan meningkatkan daya saing produk PMKS untuk memenuhi piawaian pasaran antarabangsa.
- Bantuan diperluaskan untuk pengusaha kecil mendapatkan pensijilan halal rasmi bagi memudahkan eksport dan menambah keyakinan pengguna global.
- Kedudukan pelabuhan dan sumbangan eksport Pulau Pinang mengukuhkan kelebihan strategik dalam perdagangan serantau.
Saranan itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang melihat potensi besar di negara-negara zon bukan konflik seperti Asia Tengah, benua Afrika, Eropah Timur serta Kemboja.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan teknologi tinggi negara terus kekal mampan dan berdaya saing.
“Kita mampu mempelbagaikan destinasi eksport, khususnya ke zon bukan konflik seperti Asia Tengah, Afrika dan Kemboja. Pelabuhan pelepasan (port of discharge) paling hampir dengan rantau ASEAN di sebelah utara ialah Pulau Pinang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan daya saing produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar mampu memenuhi piawaian pasaran antarabangsa.
EXCO Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata produk warisan tempatan seperti belacan Pulau Pinang kini mula menembusi pasaran luar termasuk United Kingdom dan Australia.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga giat membantu pengusaha kecil mendapatkan pensijilan halal rasmi bagi memudahkan urusan eksport dan meningkatkan keyakinan pengguna global terhadap produk tempatan.
“Sekiranya produk diproses oleh pengusaha tempatan sahaja, ia masih belum mencukupi untuk pasaran antarabangsa. Oleh itu, kita membantu mereka mendapatkan pensijilan halal supaya produk kampung seperti Belacan Pulau Aman dapat dieksport dengan lebih yakin,” katanya.
Pulau Pinang kini menyumbang kira-kira 42 peratus daripada keseluruhan nilai eksport negara bagi suku pertama tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negeri penyumbang utama sektor eksport Malaysia.