Abdul Halim mula tugas KP SPRM secara rasmi

Datuk Seri Abdul Halim Aman (tengah) pada Majlis Sambutan dan Mula Tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini/ flickr SPRM

KUALA LUMPUR, 13 Mei- Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa hari ini, memiliki pengalaman luas serta rekod cemerlang khususnya dalam sistem perundangan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengendalikan beberapa kes jenayah berprofil tinggi.
  • Mempunyai jawatan termasuk Peguam Persekutuan, Peguam Persekutuan Kanan di LHDN dan AGC, majistret serta hakim Mahkamah Sesyen.
  • Dilantik Pesuruhjaya Kehakiman pada 2005, dinaikkan pangkat Hakim Mahkamah Tinggi 2007 dan bersara wajib Mac 2023.

Beliau sebelum ini menyandang jawatan terakhir sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pernah mengendalikan beberapa kes jenayah berprofil tinggi.

Dilahirkan pada 10 Mac 1957 di Kampung Alai, Melaka, beliau kini berusia 69 tahun dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya serta Universiti of Hull, United Kingdom.

Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan termasuk Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), majistret di Kluang dan Muar serta Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Melaka.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Sesyen di beberapa lokasi termasuk Tawau, Sandakan, Kuala Lumpur, George Town dan Ampang, selain sebagai Peguam Persekutuan Kanan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan AGC, serta Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Timbalan Pendakwa Raya dan Ketua Bahagian Penyelidikan di Pejabat Ketua Hakim Negara.

Pada 2005, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum dipindahkan ke Kuantan pada 2006 dan dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2007.

Beliau kemudian berkhidmat di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Shah Alam, dengan tempoh perkhidmatan paling lama di Shah Alam antara 2013 hingga persaraan wajib pada Mac 2023.

Sepanjang perkhidmatan di Shah Alam, beliau mengendalikan beberapa kes jenayah berprofil tinggi yang mendapat perhatian umum.

Pengalaman luas itu mengukuhkan kedudukannya sebagai antara tokoh kehakiman berpengalaman dalam sistem perundangan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.