
PAUH PUTRA, 1 Julai – Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) memperkukuh peranan dalam membantu komuniti setempat menjana pendapatan menerusi Program Sejati MADANI dengan menyediakan kepakaran dalam pengurusan projek.
- Memberi manfaat kepada komuniti dan membuka ruang pelajar tingkatkan kemahiran melalui pembelajaran praktikal di lapangan.
- Institusi pengajian tinggi membantu atasi kekangan pengurusan dengan memindah ilmu dan teknologi kepada masyarakat.
- Lima komuniti terlibat; setiap kampung menternak kira-kira 15,000 anak belut dalam enam bulan sebelum dipasarkan.
- PTSS menyediakan bimbingan dan pemantauan sebelum penyerahan, serta program berperuntukan RM500,000 tingkatkan pendapatan dan kesejahteraan.
Inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah membuka ruang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran melalui pengalaman pembelajaran secara praktikal di lapangan.
Menurut Pengarah PTSS, Khairul Anuar Ishak, kebanyakan projek komuniti sebelum ini berdepan kekangan dari segi pengurusan, justeru peranan institusi pengajian tinggi amat penting dalam memindahkan ilmu dan teknologi kepada masyarakat.
“Pendekatan tersebut membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam kelas secara terus kepada komuniti, sekali gus memberi impak yang lebih berkesan.
“Bagi projek berkenaan, sebanyak lima komuniti kampung terlibat dengan setiap kampung menternak kira-kira 15,000 anak belut dalam tempoh enam bulan sebelum dipasarkan,”katanya di sini, hari ini.
Sepanjang tempoh itu, PTSS menyediakan pelbagai sokongan termasuk bimbingan dan pemantauan, sebelum projek diserahkan sepenuhnya kepada komuniti.
Program Sejati MADANI itu melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 dan dijangka mampu meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan masyarakat setempat.