AKPS mulakan proses perolehan senjata api, perkukuh keupayaan operasi

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain

PUTRAJAYA, 1 Julai – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) telah memulakan proses perolehan senjata api susulan kelulusan peruntukan sebanyak RM22 juta oleh kerajaan bagi memperkukuh keupayaan operasi serta aspek keselamatan anggotanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan penggunaan pistol Glock sebagai kelengkapan rasmi kerana lebih tahan lasak dan memerlukan kos penyelenggaraan rendah.
  • Kelulusan segera diberikan untuk memperkukuh keupayaan operasi dan mengelakkan serangan tembakan terhadap kenderaan Komander di Bukit Kayu Hitam berulang.
  • Setiap anggota dan pegawai dilengkapi kepakaran baharu bagi memastikan mereka kekal kompeten dan berwibawa di pintu masuk negara.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya mencadangkan penggunaan senjata api jenis Glock sebagai kelengkapan rasmi kerana lebih tahan lasak selain memerlukan kos penyelenggaraan yang rendah.

“Kita inginkan sesuatu yang mudah diselenggara dan tidak mempunyai kos penyelenggaraan yang besar. Umum sedia maklum senjata jenis Glock kurang penyelenggaraan dan tahan lasak. Itu yang kita minta kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan AKPS di Kompleks Setia Perkasa, di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera berjumlah RM22 juta bagi melengkapkan agensi tersebut dengan senjata api dan kelengkapan bersesuaian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kelulusan segera itu diberikan bagi memperkukuh keupayaan operasi AKPS, selain mengelakkan insiden serangan tembakan terhadap kenderaan rasmi Komander AKPS di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Februari lalu daripada berulang.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohd Shuhaily turut menegaskan setiap anggota dan pegawai AKPS kini sedang dilengkapkan dengan kepakaran baharu bagi memastikan mereka kekal kompeten dan berwibawa ketika bertugas di pintu masuk negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.