
PUTRAJAYA, 1 Julai – Sebanyak 54 peratus pegawai daripada lima agensi teras bersetuju menyertai Skim Perkhidmatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang mula dikuatkuasakan secara rasmi, hari ini.
- Agensi terlibat: Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, JPJ, PERHILITAN dan MAQIS.
- Skim menawarkan kenaikan dua tangga gaji, Bayaran Insentif Perkhidmatan RM200 dan tuntutan elaun lebih masa lebih tinggi.
- Sehingga Jun 2026, 6,824 daripada 8,403 jawatan AKPS telah berjaya diisi.
- Sebahagian pegawai menolak mungkin kerana nilai sentimental terhadap agensi asal; AKPS tidak mengaitkannya dengan disiplin atau integriti.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ia melibatkan pegawai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Skim perkhidmatan tersebut sebagai tawaran perpindahan terbaik yang pernah diperkenalkan dalam sejarah perkhidmatan awam negara setakat ini.
“Jika tawaran kerajaan dijadikan sebagai kayu pengukur, saya tidak nampak sebab mengapa ia tidak mahu diterima kerana ia jauh lebih baik berbanding apa yang dinikmati ketika ini.
“Tawaran itu termasuk kenaikan dua tangga gaji, tambahan Bayaran Insentif Perkhidmatan sebanyak RM200 serta tuntutan elaun lebih masa. Kita semua sedia maklum, apabila gaji seseorang meningkat, kadar elaun lebih masa juga akan turut meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan AKPS di Kompleks Setia Perkasa, di sini hari ini.
Mengulas punca sebahagian pegawai menolak tawaran berkenaan, Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata beliau tidak mahu membuat sebarang andaian termasuk mengaitkannya dengan faktor disiplin atau integriti.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat pegawai yang masih mempunyai nilai sentimental terhadap agensi asal masing-masing sehingga memilih untuk tidak berpindah skim.
Sehingga Jun 2026, sebanyak 6,824 daripada keseluruhan 8,403 jawatan yang diperuntukkan kepada AKPS telah berjaya diisi oleh pegawai yang bersetuju menyertai skim tersebut.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan AKPS turut menerima minat daripada pegawai kementerian dan agensi lain yang menyatakan hasrat untuk menyertai agensi berkenaan, namun sebarang keputusan berhubung pengambilan anggota tambahan akan ditentukan oleh kerajaan kelak.