
KAJANG, 1 Julai – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) terus memperkukuh elemen keterangkuman dalam perkhidmatan awam apabila merekodkan peningkatan ketara penyertaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam proses pemilihan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) tahun ini.
- 43 calon OKU dipanggil menduduki PAC tahun ini berbanding 20 calon tahun lalu.
- Penilaian tetap dijalankan namun kaedah diubah suai mengikut keupayaan individu.
- Calon tanpa anggota kaki dikecualikan daripada ujian fizikal standard dan dinilai berdasarkan kaedah alternatif.
- Seramai 7,338 calon dipanggil PAC daripada hampir 100,000 permohonan bagi tahun 2026, meningkat daripada 6,424 pada 2025.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, seramai 43 calon OKU berjaya dipanggil menduduki fasa Profession Assessment Centre (PAC) tahun ini berbanding hanya 20 orang pada tahun lalu.
Menurut beliau, walaupun calon OKU melalui proses penilaian yang sama, pendekatan yang digunakan adalah berbeza dan disesuaikan mengikut keupayaan individu.
“Penilaian tetap dijalankan, namun kaedahnya diubah suai. Sebagai contoh, calon yang tidak mempunyai anggota kaki tidak akan dinilai melalui ujian fizikal yang sama seperti calon lain,” katanya selepas meninjau pelaksanaan PAC PTD di sini.
Tambahnya, SPA turut bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi merangka kaedah ujian fizikal serta parameter penilaian yang lebih inklusif dan bersesuaian dengan keupayaan calon OKU.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seramai 7,338 calon dipanggil ke fasa PAC daripada hampir 100,000 permohonan yang diterima bagi tahun 2026.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2025, apabila hanya 6,424 calon dipanggil ke fasa sama meskipun permohonan keseluruhan ketika itu melebihi 100,000 calon.