BHPetrol-MARA lancar projek pemasangan sistem solar PV

BHPetrol dan MARA Inc. melancarkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) secara berperingkat di 50 stesen BHPetrol di sekitar Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 1 Julai Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) dan MARA Incorporated Sdn. Bhd. (MARA Inc.) melancarkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) secara berperingkat di 50 stesen BHPetrol di sekitar Lembah Klang yang dijadual beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek menyokong perluasan penggunaan tenaga boleh baharu dan agenda peralihan tenaga negara.
  • MARA Inc komited kepada pelaburan berimpak tinggi untuk pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.
  • BHPetrol akui tidak semua stesen sesuai pemasangan solar kerana faktor persekitaran dan kesesuaian tapak.
  • Sehingga Julai 2026, 16 stesen telah beroperasi dan pemasangan di 34 lagi diteruskan secara berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc., Faizul Idzhar Ahmad Yazi berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu, sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga negara.

“Sasaran kami adalah untuk menyiapkan 50 stesen minyak sebelum penghujung tahun ini. Apabila kami katakan siap, ia bukan sekadar pembinaan atau pemasangan panel solar selesai, sebaliknya stesen itu perlu melalui proses pengujian dan pentauliahan, memperoleh semua kelulusan serta lesen yang diperlukan sebelum mula beroperasi dan menjana tenaga.

“Sehubungan itu, kami menyasarkan kesemua 50 stesen minyak itu dapat beroperasi sepenuhnya sebelum akhir tahun ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Projek Tenaga Boleh Baharu Bersama BHPetrol dan MARA Inc di ibu negara hari ini.

Sebagai anak syarikat milik penuh MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp), MARA Inc. kekal komited untuk memberi tumpuan kepada pelaburan berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Fardzi Shah Razali berkata, BHPetrol memiliki lebih 420 stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia namun tidak semua lokasi sesuai dipasang sistem solar berikutan faktor persekitaran dan kesesuaian tapak.

“Stesen-stesen ini mempunyai kawasan yang lapang dan menerima pencahayaan matahari yang mencukupi. Namun, terdapat juga beberapa stesen yang terletak di kawasan terlindung, khususnya di kawasan bandar serta berhampiran kondominium dan bangunan tinggi.

“Keadaan itu menyebabkan stesen berkenaan kurang sesuai untuk pelaksanaan inisiatif tersebut. Ketika ini, pihak kami masih dalam perbincangan. Sekiranya mencapai persetujuan bersama Mara Inc. atau mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan, usaha kelestarian ini akan diteruskan dan diperluaskan ke semua 420 stesen sedia ada,” katanya lagi.

Sehingga Julai 2026, sebanyak 16 stesen BHPetrol telah dilengkapi sistem solar PV dan kini beroperasi sepenuhnya. Pelaksanaan pemasangan di 34 lagi stesen akan diteruskan secara berperingkat sehingga keseluruhan projek mencapai sasaran yang ditetapkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.