
KUALA LUMPUR, 17 Mac– Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkukuh industri penyiaran negara dengan menerbitkan satu video pesanan khidmat masyarakat (PSA) bersempena Aidilfitri 2026 secara janaan Kecerdasan Buatan (AI).
- Olahan skrip dan adunan visual memainkan peranan besar dalam menghasilkan PSA berkualiti.
- RTM memanfaatkan teknologi digital dan AI untuk transformasi serta penghasilan bahan siaran kreatif berkualiti tinggi.
- Imaginasi tinggi diperlukan; rujukan drama dan filem digunakan untuk menjentik emosi penonton.
- Disiarkan di semua saluran RTM serta menyokong saranan Perdana Menteri perluaskan penggunaan AI.
Video berdurasi tiga minit 12 saat itu memaparkan dua watak utama avatar AI yang berperanan sebagai ibu dan anak yang bertugas sebagai penyampai berita.

Penerbit Penyelaras, Noraziah Zakaria berkata, olahan skrip dan adunan visual berperanan besar dalam menghasilkan PSA berkenaan selain penghasilan yang berkualiti tinggi.
“Sebahagian daripada usaha RTM untuk transformasikan RTM, memanfaatkan teknologi digital dan juga kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan bahan siaran kreatif dan juga berkualiti tinggi”, katanya.

Bagi Penerbit AI, Saiful Aziman Mazlan pula, daya imiginasi memainkan peranan besar dalam penghasilan PSA ini agar dapat menjentik emosi penonton.
“Imiginasi memang kena tinggi, saya terpaksa buat beberapa rujukan dengan tengok drama-drama yang menyayat hati, filem-filem yang menangis-menangis tu untuk dapatkan emosi tu sebab ini adalah cabaran pertama saya nak menghasilkan kandungan AI yang boleh menjentik emosi”, katanya.

Penyunting Video, Muhammad Syauqi Zakariya berkata, lima hari tempoh diambil untuk menyiapkan PSA berkenaan sebelum disiarkan.
“Benda baru la, kalau sebelum ni buat tak sama lah dengan visual orang betul berbanding AI ni, kemudian dia punya editing yang tak sama. lipsing untuk audio dubing, nak kena sama kan benda tu dulu”, katanya selepas menjadi tetamu Program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.
PSA meruntun hati itu kini disiarkan di semua saluran TV dan akaun media sosial RTM bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri.
Penghasilan video itu juga sebagai menyokong saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar penggunaan AI diperluas di negara ini khususnya dalam industri penyiaran.