fb fb fb fb fb

Proses bina Keluarga Malaysia bersatu padu, miliki identiti nasional perlu dipertahan - PM

(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) merasmikan sambutan Hari Malaysia 2022
di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan A'Famosa Banda Hilir/ Foto BERNAMA)

MELAKA, 17 September - Proses membina Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan memiliki satu identiti nasional harus terus dipertahankan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, ia bukanlah tugas yang mudah.

Ini kerana cabaran dan ancaman yang dihadapi ketika ini semakin besar dan bertambah kompleks termasuklah dalam bentuk ekonomi, politik, sosial selain anasir-anasir luar yang berusaha menggugat kestabilan serta ketenteraman bangsa dan negara.

Justeru katanya, nilai-nilai berteraskan Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran amat penting untuk membina kekuatan sebuah Keluarga Malaysia.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada sambutan Hari Malaysia 2022 di
Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan A' Famosa Banda Hilir/ Foto BERNAMA) 

"Memupuk perpaduan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, budaya dan taraf sosioekonomi, merupakan agenda besar lagi penting bagi kerajaan demi kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera.

"Justeru, nilai-nilai Keluarga Malaysia yang berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran adalah ramuan penting dalam usaha membina kekuatan seluruh Keluarga Malaysia agar terus bersatu, kukuh berpadu serta kalis cabaran dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi," kata beliau ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, di sini malam tadi.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Ketua Menteri Sabah II Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan; Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; barisan Menteri dan Exco Kerajaan Negeri.

Tambah Perdana Menteri, konsep Tasamuh yang digariskan oleh Islam juga menjadi pegangan supaya segala perbezaan dan kepelbagaian yang ada di negara ini dapat dirai dan dihargai oleh seluruh Keluarga Malaysia dengan hati terbuka.



Media Baharu