SHAH ALAM, 11 Mac- Aktiviti simulasi memandu kenderaan dengan selamat antara pendekatan interaktif dilaksanakan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) menerusi kempen kesedaran keselamatan di lebuh raya yang dijalankan hujung minggu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah menerusi satu kenyataan memaklumkan kempen pada 8 hingga 9 Mac lepas dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, antara aktiviti interaktif dan inovatif yang dijalankan menerusi karnival mini bertempat di Kawasan Rehat dan Rawat Elmina, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) itu adalah demonstrasi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan, simulasi menunggang basikal serta Selamat Sampai Sekolah atau 3S.
“Kami berbesar hati buat pertama kali dapat bekerjasama dengan MIROS, yang peranan penting institut itu dalam pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya selari dengan matlamat syarikat kami. Menerusi jalinan strategik ini, kami berharap dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
“Kempen berkenaan juga selari dengan komitmen berterusan syarikat dalam memastikan keselamatan, keselesaan dan kemudahan pengguna lebuh raya terpelihara,” katanya.
Tambah Mohammad Azlan, program tersebut menyasarkan masyarakat sekitar dan pengguna lebuh raya pelbagai peringkat usia.
"Bergerak ke hadapan, PROLINTAS komited memperkukuh kerjasama dengan MIROS serta agensi lain dengan fokus terhadap teknologi dan inovasi keselamatan trafik,"katanya.