fb fb fb fb fb

Projek tebatan banjir di Sarawak, PETRA bincang dengan Kementerian Ekonomi

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 1 Februari- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang berbincang dengan Kementerian Ekonomi untuk memuktamadkan projek tebatan banjir di Sarawak.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata projek tersebut melibatkan tiga pakej projek yang memerlukan peruntukan yang besar.

“Satu ialah canal, kedua ialah jambatan, yang ketika ialah baraj yang kita perlu sediakan. Jadi peruntukan itu agak besar melebihi RM1 bilion. Dengan peruntukan yang sedia ada, belum mencukupi sebab kita nak laksanakan ketiga-tiga pakej. Ia tidak boleh dilaksanakan secara berasingan“, katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata projek tersebut di Kuching dan diharap dapat dimuktamadkan pada tahun ini. Ia dapat mengurangkan masalah banjir di bahagian Kuching khususnya, termasuk di Bau sekiranya berlaku air pasang besar.

Sementara itu, penduduk terjejas banjir diminta mendaftar dengan pejabat daerah bagi memudahkan bantuan disalurkan.

Datuk Seri Fadillah berkata, penduduk terjejas banjir sekiranya berpindah atau tidak berpindah perlu memaklumkannya kepada pejabat daerah. Ini kerana terdapat kawasan yang sukar diakses dan perlu menggunakan helikopter untuk menghantar bantuan.

"Tapi yang lebih penting apa sahaja berhubung dengan pejabat daerah yang akan menjadi penyelaras sebagai pusat central command, apabila kita menangani apa jua bencana dan sebagainya. Itu yang penting berdaftar supaya kita dapat menghubungi dan mencari apa sahaja cara untuk kita membantu mereka", katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sejijak.

ROSLINA BINTI DIN