
JOHOR BAHRU, 11 Oktober – Semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Johor ditutup selama lima hari lagi, bermula 12 hingga 16 Oktober ini, susulan keadaan jerebu yang masih berlarutan.
- Keputusan dibuat berdasarkan trend bacaan IPU, risiko kesihatan dan statistik kesan pencemaran udara.
- Pergerakan angin dari Kalimantan (13-15 Okt) dijangka membawa pencemaran udara rentas sempadan.
- Kepekatan partikel dan atmosfera statik boleh menyebabkan jerebu berlarutan, dengan bacaan IPU sekitar 170 hingga 180.
- PdPR diteruskan sepanjang penutupan; pentaksiran ditangguh dan akan dijadual semula oleh JPNJ.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan semasa kualiti udara serta risiko pencemaran terhadap kesihatan murid dan warga pendidikan.
Menurutnya, penilaian turut meliputi trend bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), risiko kesihatan serta statistik berkaitan kesan pencemaran udara.
Selain itu, pergerakan angin dari Kalimantan, Indonesia, yang dijangka berlaku antara 13 hingga 15 Oktober ini berpotensi membawa pencemaran udara rentas sempadan dan menjejaskan kualiti udara di Johor.
Kepekatan partikel pencemar serta keadaan atmosfera yang statik juga berpotensi menyebabkan jerebu berlarutan, dengan bacaan IPU dilaporkan berada pada paras 170 hingga 180.
Dalam pada itu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan mengikut kesesuaian sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas.
Bagi sekolah yang dijadualkan melaksanakan pentaksiran atau penilaian akademik dalam tempoh berkenaan, semua urusan terbabit akan ditangguhkan dan dijadualkan semula mengikut ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pihak berkaitan.
Sebelum ini, penutupan sekolah dan institusi pendidikan dilaksanakan di Batu Pahat pada 7 Oktober, sebelum diperluas ke seluruh Johor pada 8 dan 9 Oktober susulan kemerosotan kualiti udara.
Keputusan melanjutkan penutupan itu dibuat bagi mengutamakan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan sepanjang keadaan jerebu masih menjejaskan negeri berkenaan.