KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Projek Sunway Pier Harbour di Pelabuhan Klang yang ketika ini dalam peringkat pembinaan dijangka menyumbang lebih RM5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
- Projek Sunway Pier di Pelabuhan Klang dijangka menyumbang lebih RM5 bilion kepada KDNK.
- Menganggarkan tarikan lebih 30 juta pelancong, memperkukuh peranan Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk pelancongan antarabangsa.
- Projek swasta dengan pengiktirafan kerajaan, telah memperoleh kelulusan perancangan dan pelan bangunan yang diperlukan.
- Dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baru dan siap pada suku kedua 2028.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata projek juga dijangka menarik lebih 30 juta pelancong dan mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu sekaligus berpotensi menjadi tarikan utama di kawasan Pelabuhan Klang.
“Sunway Pier di Port Klang merupakan inisiatif pihak swasta. Namun, kerajaan mengambil maklum akan potensi manfaat ekonomi yang dapat dijana hasil daripada pembangunan ini. Kerajaan berpandangan pembangunan ini akan memperkukuh kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk antarabangsa bagi sektor pelancongan,” kata beliau ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Anthony turut menyatakan projek tersebut telah memperoleh kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa berkenaan.
“Ini termasuk Kelulusan Perancangan dan Kelulusan Pelan Bangunan daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang. Selain itu beberapa agensi teknikal di bawah kerajaan persekutuan turut terlibat memberikan kelulusan khusus, bagaimanapun agensi tersebut bukan di bawah kawal seliaan Kementerian Pengangkutan,” kata beliau.
Projek Sunway Pier Harbour di Pelabuhan Klang dibangunkan sebagai sebuah destinasi pelancongan berkonsepkan moden yang dijangka siap pada suku kedua 2028.