Malaysia, Vietnam sepakat perkukuh kerjasama strategik dan tenaga hijau

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di platform media sosial rasminya memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Phạm Minh Chính, bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memuktamadkan Pelan Tindakan Kerjasama Strategik Komprehensif Malaysia–Vietnam untuk memperluas hubungan dua hala.
  • Perkukuh kerjasama tenaga hijau melalui projek Gentari–TNB–Petrovietnam bagi pembangunan tenaga angin dan solar.
  • Bekerjasama dalam perdagangan, pelaburan, E&E, AI, semikonduktor, industri halal serta menangani isu serantau dan keselamatan.

Jelas beliau, pertemuan tersebut tertumpu kepada usaha memuktamadkan Pelan Tindakan Kerjasama Strategik Komprehensif Malaysia–Vietnam, selain memperluas jalinan dalam bidang perdagangan, pelaburan, elektrik dan elektronik (E&E), kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta industri halal.

Perdana Menteri juga menyebut komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama tenaga hijau menerusi projek Gentari–TNB–Petrovietnam yang melibatkan pembangunan tenaga angin dan solar.

Kedua-dua pemimpin juga bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan global, termasuk keselamatan makanan, jenayah rentas sempadan, Laut China Selatan serta situasi di Myanmar, dengan komitmen bersama untuk terus memelihara keamanan dan kestabilan rantau ini.

Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar hubungan baik serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Vietnam akan terus membawa manfaat kepada kedua-dua negara.