Rundingan ASEAN bantu kurangkan kes serangan di Myanmar

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Pendekatan diplomatik dan semangat kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN telah membantu mengurangkan tahap keganasan di Myanmar.

RINGKASAN BERITA AI
  • ASEAN komited melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) untuk menangani krisis Myanmar secara diplomatik.
  • Perbincangan dalam talian dan pertemuan pemimpin Myanmar menunjukkan kesediaan mengekalkan hubungan dan kerjasama.
  • Insiden keganasan, termasuk kemusnahan kampung dan pembunuhan, dilaporkan berkurangan berbanding beberapa tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ASEAN komited menangani krisis di Myanmar berpandukan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang ditetapkan.

“Kami berbincang dan bersetuju mengadakan pertemuan secara dalam talian. Saya sendiri pernah bertemu dengan beberapa pemimpin Myanmar. Ini menunjukkan kesediaan kami untuk mengekalkan hubungan baik.” kata beliau pada sidang media penutup bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di ibu negara hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi ASEAN berkata perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan di Myanmar akan diteruskan bagi memastikan keamanan negara itu dapat direalisasikan secara menyeluruh.

Menurut Datuk Seri Anwar insiden keganasan kini jauh berkurangan berbanding dua atau tiga tahun lalu.

Ini dilihat menerusi isu kampung dimusnahkan, pembunuhan dan pelarian telah berkurangan.