
NEW YORK, 18 April– Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan pengumuman Iran untuk membuka semula laluan strategik Selat Hormuz sebagai satu langkah ke arah yang betul dalam meredakan ketegangan global.
- Setiausaha Agung menegaskan hak navigasi dan kebebasan perkapalan mesti dipulihkan serta dihormati mengikut undang-undang antarabangsa.
- Iran umum buka laluan susulan gencatan senjata Lubnan; Trump menyatakan rundingan damai menamatkan perang Iran hampir dimuktamadkan.
- Sekatan maritim AS kekal sehingga rundingan selesai dan Tehran memberi amaran tindakan balas jika sekatan diteruskan.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata Setiausaha Agung Antonio Guterres menyambut baik perkembangan tersebut, namun menegaskan bahawa hak navigasi dan kebebasan perkapalan antarabangsa di laluan itu mesti dipulihkan sepenuhnya serta dihormati oleh semua pihak selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Pengumuman tersebut menyusul selepas Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengesahkan pembukaan laluan berkenaan susulan perjanjian gencatan senjata di Lubnan, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut membayangkan rundingan damai bagi menamatkan perang Iran bakal dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Selat Hormuz kini dibuka untuk semua kapal komersial bagi baki tempoh bertenang 10 hari yang diusahakan AS. Langkah ini selaras dengan perjanjian yang dicapai pada Khamis antara Israel dan Lubnan bagi menghentikan pertempuran antara tentera Israel dan Hizbullah yang disokong Iran,” kata Dujarric.
Bagaimanapun, ketidaktentuan masih menyelubungi aktiviti perkapalan memandangkan Donald Trump menegaskan sekatan maritim AS terhadap pelabuhan Iran akan kekal sehingga segala rundingan diselesaikan sepenuhnya.
Tehran melalui jurucakap Kementerian Luarnya, Esmaeil Baghaei memberi amaran keras akan mengambil tindakan timbal balik sekiranya sekatan tersebut diteruskan.
Konflik yang bermula sejak 28 Februari lalu itu telah melumpuhkan laluan yang mengendalikan satu perlima bekalan tenaga dunia, sekali gus mencetuskan ancaman krisis minyak paling buruk dalam sejarah.
PBB terus menyatakan sokongan padu terhadap segala usaha diplomatik bagi mencari jalan penyelesaian aman terhadap krisis yang telah mengorbankan ribuan nyawa tersebut. -REUTERS