MCMC siasat penyebaran berita palsu pembekalan diesel ke Filipina

Individu menyebar berita palsu berkaitan penghantaran diesel ke Filipina telah dipanggil untuk memberi keterangan semalam. Foto MCMC

PUTRAJAYA, 18 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan bahan api diesel kepada Filipina.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC mengesahkan diesel itu milik syarikat perdagangan antarabangsa Vitol, bukan Petronas atau kerajaan Malaysia.
  • Individu dipanggil memberi keterangan manakala peranti komunikasi yang digunakan disita untuk siasatan lanjut.
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihak berkuasa telah mengesahkan diesel berkenaan adalah milik syarikat perdagangan antarabangsa Vitol, dan bukan milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau kerajaan Malaysia seperti yang didakwa.

Menurut kenyataan itu, individu terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan semalam, manakala peranti komunikasi yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan disita bagi membantu siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

“Kami memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan digital untuk menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan orang ramai.

“Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam,” menurut kenyataan itu.