fb fb fb fb fb

Projek naik taraf jambatan, jejambat kurangkan kesesakan trafik Pulau Pinang-Perak

NIBONG TEBAL, 12 Januari- Projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Kerian dan pembinaan jejambat merentasi persimpangan jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian Seberang Perai Selatan yang mengalami sedikit kelewatan dijangka siap pada Februari 2025.

Apabila siap kelak, jambatan dan jejambat itu akan mengurangkan kesesakan trafik dari Pulau Pinang ke Perak, sekali gus menjimatkan masa perjalanan pada waktu puncak selain mengatasi masalah banjir kilat di kawasan itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kelewatan projek tersebut berpunca daripada isu berkaitan pengambilan balik tanah sebuah rumah ibadat.

Bagaimanapun projek yang menelan kos RM209 juta itu tidak akan mengakibatkan sebarang pertambahan kos akibat kelewatan.

Difahamkan, tarikh siap kerja asal adalah pada 7 Julai tahun depan selepas pemilikan tapak diperoleh pada 8 Julai tahun lalu.

"Jadi maknanya dia bukan terlewat terlalu teruklah. Ini kerana ada masalah dengan pengambilan tanah. Dan masalah itu saya difahamkan telah diselesaikan bersama pemegang taruh yang berkenaan dan kita harapkan dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan kita harapkan projek ini berjalan lancar selepas ini," kata Alexander Nanta selepas selesai sesi lawatan projek tersebut di sini.

(Datuk Seri Alexander Nanta berkata Projek naik taraf jambatan, jejambat kurangkan kesesakan
trafik Pulau Pinang-Perak)

Media Baharu