Kerajaan perlu teliti keperluan tambah aset APM di Sabah, Sarawak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud/ BERNAMA

KAJANG, 6 Mei – Kerajaan perlu meneliti keperluan menambah aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) khususnya di Sabah dan Sarawak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tingkatkan kesiapsiagaan APM untuk menghadapi bencana yang semakin kritikal.
  • Tambahan anggota, pembaikan pejabat dan aset operasi terutama di Sabah dan Sarawak disebabkan keluasan kawasan.
  • APM diharap terus cemerlang dan mampu mendepani pelbagai cabaran bencana.
  • Perlu latihan berterusan untuk anggota dan sukarelawan agar pengurusan bencana lebih baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata langkah itu bagi memastikan kesiapsiagaan agensi tersebut berada pada tahap optimum dalam mendepani cabaran bencana yang kini dilihat semakin kritikal.

Beliau berkata hasil lawatan ke beberapa lokasi di seluruh negara mendapati terdapat keperluan untuk menambah bilangan anggota serta menambah baik bangunan pejabat dan aset operasi APM, khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai keluasan kawasan yang besar.

“Kita harap APM akan terus cemerlang dan dapat mendepani pelbagai cabaran. Kita tahu sekarang ini bencana bukan lagi seperti dahulu, bencana kita semakin kritikal.

“… dan kita harap APM juga bersedia melatih anggota serta sukarelawan mereka supaya dapat mengurus bencana dengan baik,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-74.