fb fb fb fb fb

Projek jalan akses baharu di Batu Kawa bakal siap September ini

FOTO Pejabat Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak

KUCHING, 4 Julai- Kerja-kerja pembinaan projek jalan akses baharu di Batu Kawa berada pada landasan tepat untuk disiapkan mengikut jadual pada 15 September ini seperti telah ditetapkan.

Timbalan Premier, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata pembinaan jalan masuk sepanjang 285 meter yang menghubungkan ke lampu isyarat Stapok Utama berhampiran Sekolah Rendah SJKC Chung Hua No. 6 ke kawasan Ensing Timur itu kini 65.74 peratus siap.

Dalam kenyataan medianya hari ini beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu pembinaan jalan akses bernilai RM2.02 juta itu hanya mengambil masa lapan bulan.

“Projek ini penting untuk kedua-dua jalan utama dan laluan berselerak di sekitar kawasan perumahan. Ia bertujuan untuk memastikan laluan yang lancar dari kawasan perumahan ke jalan utama,” jelasnya.

Datuk Dr Sim turut mengingatkan kontraktor tentang kepentingan mematuhi jadual waktu projek untuk memberi manfaat kepada orang ramai secepat mungkin.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE