PUTRAJAYA, 7 Ogos - Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar melancarkan Program Sukuk Mampan dan SDG bernilai hingga RM10.21 bilion, sekali gus mencatat sejarah sebagai Sukuk SDG pertama di Malaysia dijamin kerajaan.
Beliau berkata inisiatif itu mengukuhkan pembiayaan lestari sektor pengangkutan serta menyokong pembangunan infrastruktur dan ekonomi serantau.
"Pencapaian ini bukan sahaja mencatat sejarah sebagai Sukuk SDG pertama di Malaysia yang dijamin oleh kerajaan, malah turut menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh pembiayaan lestari bagi sektor pengangkutan ke arah mempercepat pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi serantau," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyempurnaan Ekosistem Kewangan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) 360 Darjah RHB-MRL di sini.
Ia menjadi bukti kepimpinan kerajaan dalam memacu infrastruktur mampan dan menetapkan penanda aras bagi projek-projek masa depan yang menyokong SDG.
Penerbitan itu juga membuka peluang pelaburan bagi membiayai sebahagian pembinaan projek ECRL. Sekali gus, meraih pengiktirafan tempatan dan serantau, menjadi bukti kepimpinan kerajaan dalam memacu projek mampan.