
KUALA LUMPUR, 1 November – Seramai 50 kanak-kanak di Program Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Tun Razak menerima manfaat menerusi Program Community Feeding tahun ini, sebagai usaha menangani masalah “malpemakanan” dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
- Kanak-kanak yang dikenalpasti mengalami malpemakanan menunjukkan peningkatan positif selepas intervensi dan pemantauan berterusan.
- Program memastikan penyediaan pemakanan seimbang mengikut garis panduan Program Community Feeding Bandar 2013.
- Kerjasama Jabatan Kesihatan, Pejabat Kesihatan dan komuniti penting untuk pelaksanaan, pemantauan perkembangan dan kesedaran ibu bapa.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sembilan kanak-kanak dikenal pasti mengalami masalah itu, termasuk kurang berat badan, terbantut dan susut berat badan, namun menunjukkan peningkatan positif hasil intervensi serta pemantauan berterusan.
“Tahun ini kita membantu 50 orang kanak-kanak di PPR Bandar Tun Razak melalui program ini. Kejayaan ini apabila kita buat dan disokong oleh data dan pemantauan, kita mampu bawa perubahan yang positif kepada anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penghargaan Community Feeding Peringkat Kesihatan Cheras 2026 di Masjid Zaid Bin Thabit, Desa Tun Razak, di sini, hari ini.
Menurutnya, program itu bukan sekadar menyediakan makanan, sebaliknya memastikan kanak-kanak menerima pemakanan seimbang mengikut keperluan kalori dan nutrisi berdasarkan garis panduan Program Community Feeding Bandar 2013.
Katanya, kerjasama Jabatan Kesihatan, Pejabat Kesihatan serta komuniti setempat amat penting bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar, termasuk pemantauan perkembangan kanak-kanak secara berkala dan meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pemakanan sihat.
Program Community Feeding merupakan antara inisiatif intervensi pemakanan bagi membantu kanak-kanak berisiko mengalami “malpemakanan”, khususnya dalam komuniti bandar yang berdepan kekangan sosioekonomi.