KUALA LUMPUR, 1 Mei- Diskriminasi jantina atau 'gender bias' tidak seharusnya menjadi halangan bagi wanita untuk membawa peranan sebagai peneraju perubahan atau diangkat sebagai di antara pemimpin negara ini.
Jelas Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, perjuangan itu bukan saja menjadi tanggungjawab kaum wanita, tetapi semua pihak yang ingin melihat generasi masa depan lebih terbela.
Beliau juga membidas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Afif Bahardin yang dianggap membuat kenyataan seksisme terhadap calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao.
"'Statement that only' yang tunjuk bahawa kita memang hormat sebagai seorang wanita, kita juga ada keupayaan untuk dapat dicalonkan oleh parti untuk menjadikan calon.
"Jadi saya harap bahawa seksisme seperti ini dikurangkan oleh pemimpin-pemimpin, tidak kira dimana-mana bidang paling penting.
"Pemimpin kita perlu berhati-hati kerana kenyataan yang kita buat ini akan ada kesannya.
"Kalau kita boleh jadi 'extra sensitive' hadap kenyataan-kenyataan tersebut, saya percaya ia akan wujudkan satu budaya yang lebih mesra wanita, katanya selepas melawat pameran seni lukisan 'Wonder Women' sempena memperingati Hari Ibu di Kuala Lumpur hari ini.
Tambahnya, peringatan Hari Ibu yang mendatang diharapkan merupakan tonggak pergerakan wanita untuk terus berkontribusi aktif memajukan bangsa dan negara.
Terdahulu, tular paparan video Afif di laman sosialnya baru-baru ini yang mendakwa calon PH yang bertanding di PRK Kuala Kubu Baharu, Sock Tao dipilih semata-mata disebabkan peranannya sebagai 'proksi' kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Kenyataan itu seolah-olah tidak mengiktiraf dan tidak menghormati kebolehan seorang calon wanita boleh berdikari dan mewujudkan ekosistem kepimpinan wanita yang lebih mantap.