
SEPANG, 13 Jun – Presiden Timor-Leste, José Ramos-Horta tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan khas selama lima hari.
- Pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja dipimpin Kapten Luqman Hakim Abd Khar di Kompleks Bunga Raya, KLIA.
- Ketibaan disambut Ketua Protokol Wisma Putra Ikram Mohd Ibrahim dan Ketua Pegawai Istiadat Datuk Rozainor Ramli.
- Sesi dialog bertajuk "Dunia Berubah, Nilai Tetap Utuh" dijadualkan di Universiti Taylor's pada Isnin.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meraikan beliau dalam majlis makan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana pada Selasa.
Beliau bersama delegasi tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.24 pagi menaiki penerbangan komersial.
Ketibaan beliau disambut dengan pemeriksaan kawalan kehormatan setempat yang terdiri daripada anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, diketuai Kapten Luqman Hakim Abd Khar di Kompleks Bunga Raya, KLIA.
Turut menyambut ketibaan Ramos-Horta ialah Ketua Protokol Wisma Putra, Ikram Mohd Ibrahim serta Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Datuk Rozainor Ramli.
Pada Isnin, Ramos-Horta dijadualkan menghadiri sesi dialog bertajuk Dunia Berubah, Nilai Tetap Utuh di Universiti Taylor’s.
Dalam pada itu pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula akan meraikan beliau dalam satu majlis makan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana.
Sepanjang lawatan itu, Ramos-Horta turut dijadualkan menghadiri majlis pelancaran buku serta menyampaikan syarahan khas dalam program anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR).
Ramos-Horta dijangka berlepas pulang ke Dili pada 17 Jun ini.