SEPANG, 11 Jun- Presiden Poland, Andrzej Duda berlepas ke Singapura hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama sedia ada.
Pesawat khas yang membawa Duda, isteri Agata Kornhauser-Duda dan delegasinya berlepas pada pukul 5.10 petang tadi.
Majlis pelepasan rasmi diadakan di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang turut menyaksikan kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Kapten Mohd Masrur Hidayat Masri.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Duta Poland ke Malaysia Krzysztof Dobrowolski hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Poland dan delegasinya.
Duda tiba pada Isnin sekali gus menandakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan pada Ogos 2015.
Terdahulu, Malaysia dan Poland bersetuju memperkukuh kerjasama pertahanan termasuk meneroka peluang perolehan jangka panjang serta penglibatan strategik antara kementerian pertahanan kedua-dua negara.
Ketika pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua pemimpin turut membincangkan mengenai kerjasama dalam bidang utama lain seperti teknologi makanan, teknologi digital, tenaga boleh baharu dan industri halal.
BERITA BERKAITAN: