fb fb fb fb fb

Pelan tindakan tangani penyakit jarang jumpa tumpuan AHMM 2026

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad /BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 November- Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) 2026 yang akan dipengerusikan Malaysia pada Ogos tahun depan, dijangka menjadi platform penting bagi merangka pelan tindakan serantau berhubung penyakit jarang jumpa.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ke arah itu, Kementerian kini sedang giat menjalankan beberapa sesi mesyuarat awal dan perundingan bersama pakar serantau untuk memuktamadkan pelan tindakan tersebut.

Sebagai Pengerusi AHMM 2026 juga, Malaysia berhasrat memperkukuh komitmen negara anggota dalam membentuk satu pelan hala tuju yang menjadi asas kepada Deklarasi dan Pelan Tindakan ASEAN mengenai penyakit berkenaan.

"Yang diperlukan bukan sekadar komitmen tetapi satu blueprint iaitu pelan hala tuju yang menyeluruh. Kepengerusian Malaysia pada AHMM 2026 akan membolehkan kita membentangkan agenda kesihatan yang lebih tuntas termasuk bagi penyakit jarang jumpa,” katanya.

Beliau berkata dalam satu sidang media selepas merasmikan forum Dasar Penyakit Jarang Jumpa Asia Tenggara: Memperkukuh Kerjasama Serantau untuk Meningkatkan Kualiti Hidup Pesakit di ASEAN di Putrajaya.

SITI NOORAIN ABDULLAH