fb fb fb fb fb

FOI Putrajaya berpotensi jadi program serantau ASEAN

Foto FB Kementerian Pendidikan Tinggi

PUTRAJAYA, 7 November - `Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 bakal diperluas ke peringkat serantau dengan Malaysia dicadangkan menjadi pusat penganjuran program berprestij itu secara tetap.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, cadangan tersebut adalah cetusan hasil perbincangan bersama Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN yang menghadiri FOI 2025, termasuk dari Indonesia dan Filipina.

Tambahnya, mereka melihat potensi besar FOI sebagai platform serantau bagi memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi serta menggalakkan pertukaran idea baharu dalam kalangan negara ASEAN.

“Bagi mereka, ini sesuatu istimewa kerana tidak banyak negara khususnya dalam kalangan ASEAN menganjurkan program seumpama ini. Lazimnya, program anjuran kerajaan diadakan di peringkat universiti, namun di Malaysia, kita memperluaskannya bagi menggalakkan anak-anak muda menjana dan berkongsi idea baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup FOI Putrajaya yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Datuk Seri Dr. Zambry juga memberitahu, cadangan menjadikan FOI Putrajaya sebagai program rasmi di bawah Program Pendidikan Tinggi ASEAN mendapat sokongan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.

Menyaksikan FOI disaran agar dinaik taraf menjadi platform serantau yang menghimpunkan menteri-menteri, profesor dan institusi pengajian tinggi dari seluruh ASEAN.

“Kami berharap program ini dapat dijadikan acara berterusan selepas penganjuran di peringkat kebangsaan, sekurang-kurangnya menetapkan satu hari khusus untuk peringkat ASEAN melibatkan penyertaan tokoh dan institusi pendidikan tinggi dari rantau ini,” katanya.

Terdahulu, pada akhir acara majlis penutupan, FOI diterajui Kementerian Pendidikan Tinggi telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records dengan gelaran 'Most Intellectual Discourse Sessions in an Innovation Ideas Event.'

EZA YUSMAWATI YAACOP