
KUANTAN, 16 Mac – Kerajaan Negeri Pahang akan menyiasat dakwaan pekebun di Cameron Highlands yang mendakwa harga belian sayur oleh pemborong terlalu rendah sehingga menjejaskan kemampuan mereka menampung kos operasi.
- Pekebun dakwa pemborong membeli sayur hanya sekitar 30 sen sekilogram, menjejaskan kemampuan menampung kos operasi.
- Sim minta KPDN menyiasat dakwaan itu dan akan adakan sesi dialog dengan pekebun pada 30 Mac untuk gambaran jelas.
- Isu turut dikaitkan dengan import sayur dari China dan kira-kira 28 lesen import yang didakwa menjejaskan harga tempatan.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang berkata beliau menerima aduan terus daripada pekebun yang mendakwa harga belian sayur oleh pemborong hanya sekitar 30 sen sekilogram.
Menurutnya, penurunan harga itu dilaporkan melibatkan kira-kira 30 jenis sayur.
Sehubungan itu, beliau turut meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuat semakan terhadap dakwaan berkenaan.
Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu tersebut, satu sesi dialog bersama pekebun Cameron Highlands akan diadakan pada 30 Mac ini.
“Kita mahu tahu siapa yang mengawal harga sayur ini. Hari ini mungkin tiga ringgit lebih, esok boleh turun kepada dua ringgit lebih, tetapi pekebun hanya menerima sekitar 30 sen. Macam mana mereka mahu hidup, sedangkan kos baja pun tidak cukup.”
“Jadi saya minta KPDN buat semakan terlebih dahulu, sementara saya sendiri akan ke Cameron Highlands untuk memahami isu ini dengan lebih mendalam,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2026 di sebuah pasar raya, di sini.
Difahamkan, masalah tersebut turut dikaitkan dengan import sayur dari China selain kewujudan kira-kira 28 lesen import sayur yang didakwa memberi kesan kepada harga sayur tempatan.