
ALOR GAJAH, 5 Mei – Seorang pemandu van persiaran direman tujuh hari oleh Mahkamah Sesyen di sini berkaitan kemalangan membabitkan lapan pelancong warga India pada Isnin.
- Pemandu didapati positif syabu selepas ujian air kencing.
- Van persiaran dari Kuala Lumpur ke Melaka terbabas di Kilometer 212 Lebuhraya Utara-Selatan, membawa lapan pelancong warga India.
- Tiga penumpang cedera; seorang dewasa dan dua kanak-kanak dihantar ke Hospital Melaka.
Perintah reman dikeluarkan Hakim Kamarul Aris Kamalluddin selepas lelaki itu didapati positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemandu berusia 55 tahun itu ditahan pada Isnin selepas van persiaran dipandunya terbabas di Kilometer 212 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan
kira-kira pukul 10.30 pagi.
Van tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka dan membawa lapan warga India.
Tiga penumpang, seorang lelaki berusia 52 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 13 tahun cedera dan dibawa ke Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abubakar berkata pemandu tidak mengalami kecederaan, namun ujian air kencing mengesahkan dia positif syabu.