SHAH ALAM, 8 November - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pasangannya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz berkenan berangkat ke Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.
Keberangkatan tiba pasangan pengantin diraja pada pukul 9 malam disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Ia diiringi dengan persembahan pasukan kompang diraja serta Silat Cekak Hanafi dan persembahan kebudayaan oleh Orang Asli Mah Meri dan Tarian Zapin Nikah Kahwin oleh kumpulan kesenian kanak-kanak di bawah seliaan Permata Seni.
Baginda berdua seterusnya berkenan memotong kek dan pulut kuning sebagai tanda kesyukuran dan keberkatan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan artis tanah air serta pertunjukan laser dan bunga api yang menceriakan suasana.
Pelbagai juadah tradisional turut disediakan antaranya sate, mee rebus, punten dan kuih-muih, dengan kehadiran lebih 10,000 rakyat yang membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam bagi memeriahkan majlis.
Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat itu berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang berpeluang beramah mesra dengan baginda berdua.
Terdahulu di sebelah petang, Tengku Amir Shah berkenan memulakan gimik perasmian acara sukan rakyat menerusi permainan baling tin, sebelum meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat yang menyertai pelbagai aktiviti tradisional seperti sepak raga bulatan, galah panjang, kelereng dan bola sepak berkain pelekat.