MANAMA, 8 November - Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa malam tadi meraikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Majlis Santapan Negeri di Istana Sakhir, di sini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Istana Sakhir, disambut mesra Raja Hamad.
Majlis berkenaan dimulakan dengan acara tertutup khusus untuk kerabat diraja pada pukul 7.15 malam waktu tempatan (12.15 tengah malam waktu Malaysia).
Mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj.
Majlis Santapan Negeri itu turut disertai Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Tan Sri Dr Azmi Rohani, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Bahrain Datuk Shazryll Zahiran.
Acara rasmi pada majlis tersebut merangkumi bacaan ayat suci al-Quran di Bilik Majlis Negara, diikuti titah oleh Raja Hamad dan Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim tiba di sini pada Khamis, selepas menyempurnakan lawatan negara empat hari ke Arab Saudi.
Ini merupakan lawatan negara keenam Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi, sekali gus menjadi detik bersejarah hubungan Malaysia-Bahrain sebagai lawatan diraja pertama sejak 1974. -BERNAMA