KUALA LUMPUR, 7 November – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan kelancaran perjalanan Pilihan Raya Umum (PRU), Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata seramai lebih 9,000 pegawai dan anggota PDRM telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan tugasan menjelang Hari Penamaan Calon pada 15 November ini.
“Kita telah menempatkan pegawai dan anggota lebih kurang 9,000 orang untuk menjalankan tugas semasa pilihan raya nanti. Seperti sedia maklum, Monsun Timur Laut dijangka melanda, jadi persiapan turut dibuat bagi memastikan kesiapsiagaan terbaik sekiranya berlaku hujan atau ribut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Selawat dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, malam tadi.
Dalam masa sama, Datuk Seri Mohd Khalid turut menzahirkan kesyukuran atas kejayaan penganjuran program tersebut oleh Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur, yang turut dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Program ini amat berguna bagi memastikan pegawai serta anggota sentiasa diberikan kekuatan fizikal dan kerohanian. Insha-Allah, ia akan menjadi perkara yang kita beri keutamaan supaya dapat membentuk pegawai dan anggota yang berdisiplin, berintegriti serta tahu tentang hukum agama dalam melaksanakan tugas,” katanya.