KUANTAN, 11 Jun – Kerajaan negeri Pahang mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang berlangsung pada 14 Mei lalu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan selepas mengambil kira fatwa pengharaman penggunaan vape yang dikeluarkan pada 2016.
Tambah beliau, keputusan itu juga telah mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, malah perkara itu dititahkan baginda dalam beberapa siri titah baginda sebelum ini.
“Larangan ini mendapat perkenan baginda Tuanku dan kita akan segera melaksanakan tindakan penguatkuasaan melalui pihak berkuasa tempatan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Islam Negeri Pahang Bilangan 1/2025 di Bilik Gerakan Sri Pahang, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), hari ini.
Sementara itu, beliau turut meminta kerjasama pihak kuasa tempatan (PBT) di negeri itu untuk menguatkuasakan pemberhentian penjualan vape pada tahun ini.
“Kita faham peniaga ada kekangan kerana sudah membelinya. Jadi bolehlah beransur-ansur tidak mengambil bekalan vape itu,” tambahnya.
Terdahulu Al-Sultan Abdullah menyarankan penggunaan vape diharamkan secara total susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang.