Tiada keperluan kapal TLDM iring kapal Malaysia di Selat Hormuz

 Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari/ BERNAMA

MELAKA, 8 April – Tiada keperluan untuk menghantar Kapal Tentera Laut Malaysia (TLDM) untuk mengiringi kapal Malaysia yang membawa bekalan minyak di Selat Hormuz ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama baik Iran, janji mereka dipenuhi bagi memastikan keselamatan kapal Malaysia.
  • Malaysia menghormati kedaulatan negara-negara di rantau berkenaan, khususnya Iran.
  • Kementerian akan bekerjasama dengan Pharmaniaga untuk saringan autisme dan modul latihan bagi ibu bapa serta anak-anak autistik.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Malaysia mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan Iran yang mengotakan janji bagi memastikan kapal negara selamat melalui selat berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia menghormati kedaulatan negara-negara di rantau berkenaan khasnya Iran.

“Buat masa ini, tiada keperluan untuk kita di situ. Kita kita mendapat kerjasama yang cukup baik daripada Kerajaan Republik Islam Iran. Kita tahu bahawa hubungan ini bukan sahaja berkaitan tenaga, tetapi juga melibatkan aspek-aspek lain.

“Setakat ini, kerjasama tersebut berada pada tahap yang baik. Apa yang dijanjikan oleh kerajaan Iran telah pun dikotakan. Dalam masa yang sama, sebagai sebuah negara, kita akan terus berusaha kerana hasrat kita adalah untuk mencapai keamanan, dan itu merupakan perkara paling utama”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Ikhtiar Autisme Angkatan Tentera Malaysia (IA-ATM) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Umi Kem Terendak, Sungai Udang.

Dalam pada itu, Adly berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pharmaniaga Bhd untuk membuat lebih banyak saringan kepada anak-anak autistik dan seterusnya membuat modul latihan untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa dan anak-anak autistik yang telah dikenalpasti.