fb fb fb fb fb

RTM, UMT anjur program pembersihan pantai di Kuala Nerus, sedia diperluas ke IPT lain

RTM, UMT jalin kerjasama dalam program pembersihan pantai di Kuala Nerus, Terengganu

KUALA NERUS, 11 Jun- Usaha memupuk kecintaan terhadap alam sekitar dan memelihara kebersihan terus diperkasa menerusi program pembersihan pantai yang dianjurkan oleh RTM Bahagian Pembangunan Strategik, dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena Pemukiman Pengukuhan Kerjasama Berpasukan RTM melibatkan warga kerja RTM serta sukarelawan UMT.

Menurut Timbalan Pengarah Seksyen Kandungan Program RTM, Fairuz Mohd Radzi, kolaborasi seperti itu diyakini mampu diperluaskan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) lain di seluruh negara.

"Kita dapat lihat kerjasama ini berjaya dilaksanakan dan kita yakin ia boleh diperluaskan. Selain isu alam sekitar, kerjasama sebegini juga boleh merangkumi bidang lain seperti TVET. Jadi, saya pasti ia akan diteruskan," kata Fairuz kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT, Dr. Izan Datuk Jaafar menyifatkan pendekatan fizikal seperti gotong-royong adalah kaedah terbaik dalam mendidik masyarakat.

"Untuk USI Ini mungkin kali pertama untuk tahun ini, tetapi kami ada banyak Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan RTM.

Program seperti ini sangat bagus kerana ia menunjukkan secara langsung atau praktikal bagaimana sesuatu tindakan boleh dilaksanakan. Bukan sekadar taklimat atau hebahan semata-mata," tambahnya.

Dalam program selama sehari itu, hampir 100 kilogram sampah termasuk bahan plastik dan kitar semula berjaya dikumpul dalam tempoh dua jam di sekitar kawasan pantai UMT.

Program turut disertai hampir 40 peserta terdiri daripada staf RTM dan pelajar UMT.

Dalam pada itu, peserta RTM, Mahadhir Mohd Jiwa, berharap agar aktiviti seperti ini dapat diteruskan secara lebih menyeluruh melibatkan agensi-agensi lain.

"Saya harapkan RTM boleh terus merakyatkan program sebegini dengan lebih banyak agensi dan institusi supaya usaha memelihara alam sekitar dapat digiatkan lagi," kata Mahadhir.

Bagi pelajar UMT, Mohd Amir Ikbar Abd Mutalib, pendidikan alam sekitar seharusnya bermula dengan kesedaran asas, termasuk etika kebersihan semasa berkunjung ke kawasan rekreasi.

"Kalau boleh, bawa plastik sampah sendiri bila datang ke pantai. Bukan semua tempat ada tong sampah strategik. Jadi, penting untuk kita jaga kawasan ini dan pendidikan dari rumah juga memainkan peranan," jelasnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM