fb fb fb fb fb

Penganjuran pertama AGM Majlis Media Malaysia catat detik bersejarah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 November - Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menyifatkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama Majlis Media Malaysia (MMM) hari ini sebagai titik bersejarah yang menandakan kemajuan dalam usaha memperkukuh institusi media negara.

Beliau berkata penganjuran AGM itu berjalan dengan jayanya serta mendapat penyertaan menyeluruh daripada pengamal media di seluruh negara.

“Jadi tahniah dan syabas bukan sahaja kepada mereka yang telah dipilih tetapi kepada semua rakan media yang sudi meluangkan masa untuk menjayakan AGM pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas AGM itu di sini.

Teo turut menyatakan rasa bangga apabila separuh daripada ahli majlis yang dipilih terdiri daripada golongan wanita, menunjukkan kekuatan dan peranan besar golongan itu dalam industri media.

“Saya nampak ada bukan sahaja rakan-rakan wartawan yang datang dari Johor tetapi juga dari Sarawak, Sabah. Saya sebagai seorang pemimpin wanita, saya juga rasa sangat-sangat bangga kerana antara mereka yang telah dipilih, 50 peratus adalah wanita.

“Ini menunjukkan bahawa pertama, kuasa wanita dalam industri media ini sangat kuat dan kedua, rakan-rakan dalam industri ini sangat progresif, tak ada masalah untuk bagi peluang sama rata untuk kedua-dua jantina,” katanya.

Beliau berkata penubuhan MMM juga diharapkan dapat menjadi platform untuk meningkatkan profesionalisme dan etika pelaporan dalam era digital.

“Kita perlu MMM untuk menasihati industri ini supaya boleh menjadi lebih profesional dan boleh selalu rujuk kepada MMM untuk mendapatkan pandangan mereka yang lebih profesional,” katanya sambil menambah bahawa literasi media penting bagi membantu masyarakat membezakan laporan berkualiti dan sumber berita boleh dipercayai.

Sebanyak 12 individu dipilih menganggotai Lembaga MMM yang mewakili tiga kategori, iaitu syarikat media, wartawan dan persatuan media serta orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Individu yang dipilih bagi kategori syarikat media ialah C Premesh yang merupakan bekas pengerusi interim MMM, Pengarang Kumpulan New Straits Times Farrah Naz Abd Karim, Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group Berhad Datin Paduka Esther Ng Sek Yee dan Pengurus Besar The Borneo Post dan Utusan Borneo Wong Yang Yong.

Bagi kategori wartawan dan persatuan media, mereka yang dipilih ialah Mohamad Fauzi Ishak dari Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM), Mariah Airens Doksil (Persatuan Wartawan Sabah), Mohd Ishak Abdillah Ngah (Kelab Wartawan Terengganu) dan Adie Suri Zulkefli (Kelab Media Elit Kedah).

Bagi kategori orang awam dan NGO pula, individu dipilih ialah Zaharom Nain, Terence Ooi Guan Tseng, Cynthia Lorraine Silva dan Medina Mahmood.

MMM merupakan badan bebas yang ditubuhkan sebagai mekanisme kawal selia kendiri industri media negara dan berperanan mempromosikan etika kewartawanan dan kebebasan media.- BERNAMA

EZA YUSMAWATI YAACOP