KUALA LUMPUR, 7 November– Jualan produk tempatan yang dipasarkan menerusi platform e-dagang mencecah RM1.99 bilion pada tahun lepas, hasil kolaborasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama penyedia platform bawah pelaksanaan khusus Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata,nilai itu melibatkan lebih 1.6 juta unit penyimpanan stok (SKU), sekali gus membuktikan potensi besar KBBM dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan semangat patriotisme rakyat.
“ Pelaksanaan KBBM sepanjang 2024 berjaya menjana nilai jualan RM1.99 bilion membabitkan lebih 1.6 juta unit stok produk tempatan hasil kerjasama dengan platform e-dagang utama,” katanya pada Sidang Media bersempena Karnival Jualan Mega TikTok Shop 11.11 di ibu negara.
Beliau berkata inisiatif itu juga membuktikan keberkesanan strategi pendekatan keseluruhan negara yang menggabungkan peranan kerajaan, industri, usahawan serta pengguna dalam menjayakan agenda beli barangan tempatan.
Datuk Armizan berkata, KPDN masih dalam proses mengkaji kerangka perundangan e-dagang negara bagi memastikan persekitaran industri yang kondusif, responsif dan selamat untuk semua pihak termasuk pengguna dan peniaga.
Langkah itu bagi memastikan undang-undang baharu itu nanti mampu menyeimbangkan kepentingan semua pihak dan terus menyokong pertumbuhan ekosistem e-dagang yang progresif serta mampan.
Peningkatan pembelian atas talian turut mendorong KPDN bekerjasama dengan pengendali platform e-dagang bagi memperluas capaian pasaran dan promosi produk tempatan secara digital.
Selain mempergiat kerjasama di antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan platform e-dagang bagi memberi kesedaran dan perlindungan harta intelek usahawan tempatan.