fb fb fb fb fb

MCMC gesa TikTok tingkat kawalan, bendung aktiviti jenayah rentas sempadan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan media sosial untuk kegiatan jenayah rentas sempadan/Foto hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 7 November – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membanteras penyalahgunaan media sosial untuk kegiatan jenayah rentas sempadan.

Langkah itu diambil susulan pendedahan kes terbaharu melibatkan kegiatan merekrut individu untuk aktiviti penyeludupan dadah ke luar negara melalui platform TikTok.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah meminta penjelasan rasmi daripada TikTok berhubung mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan dalaman platform tersebut terhadap kandungan atau iklan yang disyaki digunakan bagi tujuan jenayah, termasuk tawaran kerja palsu yang berpotensi memperdaya pengguna.

"Orang ramai turut diingatkan supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran kerja mudah di media sosial, khususnya yang melibatkan penghantaran barangan atau bagasi ke luar negara. Tawaran seumpama ini sering digunakan oleh sindiket bagi memperdaya mangsa menjadi keldai dadah," jelas kenyataan itu.

MCMC menegaskan sebarang penyalahgunaan platform dalam talian untuk merekrut atau memperdaya pengguna bagi tujuan jenayah melalui penyebaran kandungan palsu merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Selain itu, Seksyen 263(1) akta yang sama memperuntukkan, setiap pemegang lesen bertanggungjawab mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan rangkaian atau perkhidmatan di bawah kawalan mereka tidak digunakan untuk tujuan menyalahi undang-undang di Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN